25 October 2023

Saiz Huruf :   BESAR    SEDERHANA    KECIL

Jerawat yang juga dikenali sebagai acne, merupakan masalah kulit biasa yang kebiasaannya disebabkan oleh folikel rambut dan kelenjar sebum. Apabila pembukaan folikel rambut membentuk lapisan keratin yang tebal dan kelenjar sebum dirembeskan secara berlebihan, akan menyebabkan minyak berlebihan, sel kulit mati dan bahan-bahan lain terkumpul di dalam liang-liang. Hal ini akan menyebabkan keradangan rambut folikel dan pembentukan jerawat, seperti bintik hitam, bintik putih, papula dan pustula jika sejumlah besar bakteria membiak padanya. Jerawat boleh muncul di kawasan kulit seperti muka, belakang, dada, dan bahu. Jerawat biasanya berlaku di antara umur 12 dan 25, tetapi sebenarnya, jerawat boleh berlaku pada semua peringkat umur.


Kami secara umumnya percaya bahawa diet yang tidak betul boleh menyebabkan jerawat. Sebagai contoh, semua orang pernah dengar bahawa makan makanan bergoreng akan menyebabkan jerawat. Namun, masih ramai yang tidak dapat mengawal jerawat yang menjengkelkan pada muka mereka walaupun telah mengurangkan pengambilan pelbagai makanan bergoreng. Pada realitinya, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan jerawat seperti warisan keluarga, gaya hidup, perubahan hormon, tabiat pemakanan, kesan sampingan ubat dan lain-lain. Dari segi kehidupan, kekurangan tidur, tekanan mental, penggunaan kosmetik berasaskan minyak serta produk penjagaan kulit, penggunaan produk penjagaan rambut berminyak dan lain-lain merupakan beberapa punca jerawat.


Pandangan yang betul mengenai tabiat pemakanan ialah tabiat pemakanan sahaja tidak dapat mencegah atau menyebabkan jerawat sepenuhnya, tetapi terdapat makanan tertentu yang boleh memburukkan keadaan dan terdapat juga makanan yang boleh memainkan peranan sebagai fungsi sokongan untuk memastikan kulit anda sihat. Kebanyakan orang beranggapan bahawa pengambilan makanan bergoreng ialah punca utama yang menyebabkan jerawat. Namun begitu, kajian menunjukkan bahawa makanan bergula lebih mempengaruhi penghasilan jerawat berbanding dengan makanan berminyak. Akan tetapi, makanan bergoreng biasanya mengandungi gula yang tinggi. Beberapa kajian menunjukkan bahawa pengambilan makanan bergula dan berindeks glisemik tinggi akan menyebabkan tahap gula dalam darah meningkat dengan cepat. Gula darah tinggi dan insulin jangka panjang akan menyebabkan keradangan badan, hiperkeratosis epidermis atau merangsang kelenjar sebum untuk merembeskan minyak berlebihan lantas memburukkan keadaan kulit berjerawat. Tambahan pula, beberapa kajian juga menunjukkan bahawa produk tenusu berkait rapat dengan jerawat. Mereka membuat spekulasi bahawa hormon tertentu dalam susu boleh memburukkan lagi keradangan dan liang tersumbat dalam badan, menjadikan jerawat lebih teruk. Sebaliknya, pengambilan lebih banyak makanan berserat tinggi seperti sayur-sayuran, buah-buahan, dan makanan indeks glisemik rendah boleh membantu mengurangkan jerawat dan membantu mengekalkan kulit yang sihat.


Hubungan antara makanan dan jerawat adalah berbeza bagi setiap individu kerana keadaan kulit setiap orang adalah berbeza. Walaupun tabiat pemakanan boleh menjejaskan jerawat dalam beberapa kes, namun terdapat juga faktor-faktor lain yang akan menyebabkan jerawat. Kita boleh mengelakkan jerawat melalui pemerhatian sama ada terdapat hubungan sebab akibat antara diet kita dan jerawat dari semasa ke semasa. Berbanding dengan pengawalan tabiat pemakanan, penjagaan kebersihan kulit adalah lebih penting untuk mengurangkan jerawat. Elakkan memicit jerawat untuk mengelakkan jangkitan dan parut. Jika pengawalan tabiat pemakanan, penambahbaikan gaya hidup dan penjagaan kulit gagal memperbaik masalah jerawat, anda dinasihatkan untuk minta nasihat daripada pakar dermatologi.


Walaupun jerawat tidak membawa maut, ia sering menyebabkan tekanan fizikal dan psikologi kepada orang ramai. Tetapi jangan terlalu risau tentang jerawat sebab ia biasanya boleh diurus dan diperbaik, tetapi anda mesti bersabar dan gigih. Harap artikel ini dapat membantu anda menyelesaikan masalah jerawat, mengekalkan perasaan gembira, dan kemudian mengalahkan jerawat.