6 March 2024

Saiz Huruf :   BESAR    SEDERHANA    KECIL

Sudah tentu, banyak orang kenal tentang istilah "hati berlemak". Disebabkan oleh kesibukan hidup, tabiat tidur dan makan yang tidak sihat, orang muda pun boleh menghidap hati berlemak! Apabila menyebut topik hati berlemak, sesetengah orang mungkin hanya mempunyai pemahaman yang kabur tentangnya, seperti "Saya tidak minum alkohol pun, jadi mustahil untuk saya menghidapi hati berlemak" atau "Hanya orang yang gemuk sahaja yang akan ada hati berlemak", atau "Hati berlemak hanyalah masalah kecil, tidak perlu risau tentangnya". Adakah semua ini benar? Hari ini, PhytoFairy akan membawa anda mengenali hati berlemak secara menyeluruh.




Apakah itu hati berlemak?

Hati merupakan satu organ penting dalam tubuh manusia yang menjalani pelbagai fungsi, termasuk menyokong metabolisme, keimunan, pencernaan, detoksifikasi dan penyimpanan vitamin. Biasanya, hati mengandungi kira-kira 3-5% lemak daripada beratnya. Apabila kandungan lemak melebihi 5%, ia didiagnosis sebagai hati berlemak. Di Malaysia, satu daripada setiap tiga individu yang gemuk merupakan penghidap hati berlemak. Hati berlemak boleh dibahagikan kepada dua jenis utama:

  • A. Hati berlemak bukan alkohol: Penumpukan lemak dalam sel-sel hati melebihi had normal yang disebabkan oleh pelbagai punca.

  • B. Hati berlemak alkohol: Penyakit hati yang disebabkan oleh pengambilan alkohol berlebihan dalam jangka masa yang lama.



Siapakah yang berisiko menghidap hati berlemak?

Secara umum, apabila kita bercakap tentang hati berlemak, biasanya kita merujuk kepada hati berlemak bukan alkohol. Walau bagaimanapun, ramai yang salah faham bahawa hanya pengambilan alkohol yang berlebihan sahaja boleh menyebabkan hati berlemak. Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan hati berlemak bukan alkohol:




1. Obesiti:

Obesiti merupakan faktor utama, terutamanya obesiti abdominal, di mana lemak berlebihan berkumpul di sekitar hati lalu meningkatkan risiko hati berlemak.




2. Hipertensi, diabetes, atau kolesterol tinggi:

Gangguan metabolik ini berkait rapat dengan hati berlemak kerana ia boleh mempengaruh metabolisme lemak dan fungsi hati.




3. Mengambil makanan bergula secara berlebihan dan berlemak tinggi:

Makanan ini boleh menyebabkan penumpukan lemak berlebihan dalam badan.



4. Penggunaan ubat-ubatan tertentu bagi jangka masa yang panjang atau penyalahgunaan dadah:

Hal ini boleh memberi kesan buruk kepada hati dan meningkatkan risiko menghidap hati berlemak.



5. Berdiet secara ekstrem atau mengamalkan kaedah penurunan berat badan yang tidak sihat:

Hal ini boleh merosakkan hati. Hati berlemak tidak terhad kepada individu yang gemuk. Sesetengah individu yang kelihatan kurus juga mungkin mempunyai lemak dalaman yang berlebihan.




Apakah gejala-gejala hati berlemak?

Hati ialah organ yang senyap. Dalam kebanyakan kes, seseorang yang menghidapi penyakit hati berlemak tidak akan menunjukkan gejala pada wajah atau kulit mereka. Ramai pesakit hanya mendapati mereka ada hati berlemak semasa pemeriksaan ultrabunyi secara berkala atau ujian darah rutin. Walau bagaimanapun, jika gejala tertentu berlaku, ia biasanya menandakan bahawa keadaan telah berkembang kepada peringkat yang lebih teruk. Apabila hati berlemak dikesan awal, ia boleh dirawati dengan pengubahan tabiat pemakanan dan gaya hidup. Walau bagaimanapun, jika dibiarkan, ia boleh menyebabkan kesan teruk seperti sirosis dan kegagalan hati yang tidak dapat dipulihkan.




Bagaimana untuk mencegah hati berlemak?

  1. Mulakan dengan memperbaiki diet anda. Beri tumpuan kepada diet seimbang yang rendah lemak, garam dan gula serta tinggi serat. Tingkatkan aktiviti fizikal seperti bersenam sekurang-kurangnya 150 minit setiap minggu. Mengawal berat badan; individu yang mempunyai obesiti boleh mengurangkan berat badan secara beransur-ansur sebanyak 0.5-1 kg setiap minggu sehingga mencapai berat badan yang sihat dan munasabah.

  2. Makan lebih banyak makanan tinggi serat dan berindeks glisemik rendah sambil mengurangkan pengambilan gula-gula. Contohnya, beras perang, roti bijirin penuh, oat, kekacang, pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan. Disyorkan untuk mengambil makanan asli dan kurangkan pengambilan makanan diproses.

  3. Kurangkan pengambilan makanan tinggi lemak. Kajian mendapati bahawa lemak tidak sihat boleh merangsang keradangan dalam hati berlemak. Disyorkan untuk mengambil "lemak baik" yang mencukupi, seperti makanan yang kaya dengan asid lemak Omega-3. Omega-3 membantu mengangkut lemak ke organ yang memerlukannya dan mengurangkan penumpukan lemak dalam hati.

  4. Penyelidikan menunjukkan bahawa kopi hitam boleh membantu mengurangkan risiko fibrosis hati. Jadi, minum kopi hitam tanpa gula dan bebas susu adalah disyorkan.

  5. Pemeriksaan kesihatan berkala adalah penting. Dengan trend penyakit menjadi lebih lazim pada usia muda, adalah penting bagi individu berusia lebih daripada 30 tahun untuk membiasakan diri dengan pemeriksaan kesihatan berkala untuk mengesan masalah kesihatan pada peringkat awal.


Dalam kehidupan yang semakin sibuk, kita sering mengabaikan kesihatan kita. Ramai yang silap sangka bahawa hati berlemak ialah masalah kecil dan bukan penyakit. Walau bagaimanapun, hati berlemak sudah menjadi penyakit hati kronik yang paling biasa secara klinikal. Namun begitu, kita boleh mencegah dan merawat hati berlemak melalui pengubahan gaya hidup dan tabiat pemakanan. Ingatlah, kesihatan ialah kekayaan tidak ternilai. Mari kita bertindak bersama untuk hati kita yang berharga!