Saiz Huruf :   BESAR    SEDERHANA    KECIL

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menetapkan 14 Jun setiap tahun sebagai Hari Penderma Darah Sedunia. Tujuannya bukan sahaja untuk menggalakkan orang ramai untuk menderma darah, tetapi juga untuk menghargai wira-wira penderma darah yang berdedikasi kerana tidak mementingkan kepentingan diri sendiri dan sentiasa memberi harapan kepada golongan yang memerlukan mereka. Oleh itu, pada bulan ini, PhytoFairy akan berkongsi dengan anda tentang menderma darah dan manfaatnya!



Pendermaan darah bukan sahaja merupakan satu tindakan yang menyelamatkan nyawa tetapi juga membawa pelbagai manfaat kepada para penderma:




1. Meningkatkan peredaran darah: Menderma darah secara berkala dapat memastikan darah mengalir dengan lancar dan mengurangkan risiko arteri tersumbat.



2. Mengimbangi tahap zat besi: Pendermaan darah boleh mengawal kandungan zat besi dalam badan dan mencegah penyakit kardiovaskular.




3. Meningkatkan hematopoiesis: Pendermaan darah merangsang sumsum tulang untuk menghasilkan darah lalu mempercepatkan pemulihan kesihatan badan.




4. Menjalankan pemeriksaan kesihatan mini: Suhu badan, tekanan darah, tahap hemoglobin dan ujian penyakit berjangkit seperti Hepatitis B, Hepatitis C dan HIV akan dipantau sebelum menderma darah. Para penderma akan diberitahu sama ada darah mereka melepasi ujian-ujian tersebut ataupun tidak.



5. Kebaikan yang diterima dari pihak kerajaan: Menikmati manfaat perubatan yang disediakan oleh kerajaan berdasarkan berapa kerap seseorang menderma darah; lebih banyak anda menderma, lebih banyak manfaat yang akan anda perolehi.




Menurut piawaian rasmi Pusat Darah Negara, penderma darah mestilah berumur antara 18 hingga 60 tahun, berat badan tidak kurang daripada 45kg dan sihat dari segi fizikal dan mental. Elakkan berpuasa sebelum menderma. Makan empat jam sebelum menderma darah dan minum air secukupnya demi peredaran darah yang lancar. Anda digalakkan untuk minum sekurang-kurangnya 300ml air sebelum menderma darah.




Apa yang perlu anda lakukan sekiranya terdapat lebam besar pada tempat penyuntikan selepas menderma darah?


Hal ini disebabkan oleh komplikasi ringan semasa memasukkan jarum yang mungkin menyebabkan darah terkeluar dari saluran darah. Hal ini juga disebabkan oleh tapak jarum tidak ditekan dengan betul dan menyebabkan kesukaran untuk mendapat saluran darah yang betul. Anda disyorkan untuk menekan kawasan yang telah disuntik sekurang-kurangnya 5 minit selepas menderma darah dan elakkan daripada mengangkat objek berat dalam tempoh dua jam berikutnya bagi mencegah lebam. Jika lebam masih berlaku, tekapkan kawasan lebam dengan menggunakan ais atau pek sejuk dalam tempoh 48 jam, diikuti dengan pek panas. Elakkan menggosok kawasan lebam dengan kuat bagi mengelakkan kecederaan lain pada saluran darah. Lebam kebiasanya akan hilang dalam tempoh dua minggu dan tidak akan memberi kesan terhadap kesihatan seseorang. Sesetengah orang akan merasa gatal. Hal ini merupakan reaksi alahan ringan terhadap swab alkohol atau plaster, atau proses penyembuhan kulit yang normal. Elakkan dari menggaru kawasan yang disuntik kerana ia akan menyebabkan jangkitan bakteria.



Apa yang perlu anda perhatikan selepas menderma darah?



Selepas menderma darah, penderma disarankan untuk berehat di atas katil derma darah selama 10-15 minit. Anda boleh meninggalkan katil sekiranya tidak merasa loya, pening atau pucat.

Sediakan beberapa jenis makanan ringan dan minuman untuk dimakan selepas menderma untuk mengembalikan tenaga.

Makan seperti biasa selepas menderma darah dan anda disarankan untuk makan makanan yang mudah dicerna yang kaya dengan protein, zat besi dan vitamin C tetapi jangan makan secara berlebihan bagi mengelakkan kesukaran gastrousus untuk berfungsi dengan baik.

- Protein: Ia adalah bahan mentah untuk mensintesis hemoglobin dan membantu menghasilkan darah. Anda boleh makan makanan berprotein seperti kekacang, ikan, telur dan daging.

- Zat besi: Walaupun menderma darah menyebabkan kehilangan zat besi, hal ini tidak akan menyebabkan anemia kekurangan zat besi secara langsung. Makan makanan tinggi zat besi seperti sayuran hijau, telur dan daging yang sesuai selepas pendermaan darah adalah mencukupi.

- Vitamin C: Zat besi biasanya sukar diserap oleh badan dan sokongan daripada vitamin C diperlukan dalam penyerapan zat besi. Makanan yang kaya dengan vitamin C ialah oren, kiwi, jambu batu, strawberi, lada benggala dan sebagainya.


Minum banyak air dalam tempoh 12 jam selepas menderma darah bagi menggantikan cecair yang hilang semasa pendermaan darah.

Elakkan aktiviti berat seperti berenang, menyelam atau mendaki gunung dalam tempoh 24 jam selepas menderma darah.




Pada hari istimewa ini, marilah kita semua mengucapkan terima kasih kepada wira-wira penderma darah yang berdedikasi yang tidak mementingkan diri sendiri bagi membawa harapan dan kebahagiaan kepada dunia ini. PhytoFairy juga menggalakkan semua orang untuk aktif menyertai kempen derma darah kerana hal ini bukan sahaja menyelamatkan nyawa yang memerlukan tetapi juga membawa pelbagai manfaat kepada penderma. Marilah kita sama-sama membawa harapan dan masa depan kepada lebih ramai orang yang memerlukannya!