Saiz Huruf :   BESAR    SEDERHANA    KECIL

Pernahkah anda menghadapi masalah seperti rambut kering, rapuh, hujung rambut bercabang dan keguguran rambut yang berpunca daripada kehilangan kolagen akibat penuaan, menopaus, pasca kehamilan atau tekanan, keguguran rambut boleh menjadi lebih teruk. Keadaan rambut mencerminkan cara pemakanan anda melainkan anda mempunyai masalah kesihatan tertentu. Keadaan rambut yang tidak sihat menunjukkan bahawa anda kekurangan nutrien tertentu.



Pengambilan Nutrien bagi Mengekalkan Kesihatan Rambut:




1. Mengambil Protein yang Cukup

Asas rambut yang sihat adalah protein. Pengambilan protein yang tidak mencukupi boleh menyebabkan keguguran rambut dan rambut menipis. Ramai wanita mengalami keguguran rambut dan haid tidak teratur ketika menjalani diet bagi menurunkan berat badan secara ekstrem. Oleh itu, orang dewasa perlu mengambil protein berkualiti yang mencukupi seperti kekacang, ikan, telur dan daging. Makanan-makanan ini membantu dalam pertumbuhan dan pemulihan rambut yang rosak.




2. Membekalkan Vitamin C yang Mencukupi

Vitamin C memainkan peranan penting dalam sintesis kolagen tubuh. Antara makanan yang kaya dengan vitamin C adalah buah oren, kiwi, jambu batu, strawberi, lada benggala dan lain-lain. Individu seperti perokok, orang yang berada dalam keadaan tekanan tinggi, atau mereka yang cepat gementar memerlukan vitamin C lebih dari kuantiti yang biasa. Perkara ini akan menyebabkan mereka kurang bekalan vitamin C dalam jangka masa panjang. Oleh itu, mereka harus mengambil lebih banyak vitamin C berbanding mereka yang sihat. Pengambilan vitamin C yang mencukupi bukan sahaja membantu dalam sintesis kolagen, tetapi juga menguatkan sistem imunisasi dan meningkatkan tahap kesihatan tubuh badan secara keseluruhan.





3. Mendapatkan Zat Besi yang Mencukupi bagi Mencegah Anemia

Zat besi adalah komponen utama pembentukan hemoglobin. Kepekatan serum feritin yang rendah adalah salah satu faktor keguguran rambut bagi wanita yang belum mengalami menopaus. Apabila zat besi tidak mencukupi, sintesis sel darah merah terganggu, menyebabkan anemia kekurangan zat besi. Hal ini menyukarkan proses darah untuk membawa oksigen ke seluruh tubuh badan termasuklah rambut kita. Oleh itu, ia menghalang rambut daripada mendapat nutrien yang mencukupi dan menambah masalah keguguran rambut. Zat besi membantu menguatkan rambut. Antara makanan yang kaya dengan zat besi termasuklah sayur-sayuran yang hijau, daging, hati haiwan, makanan laut dan banyak lagi.



Kesihatan rambut bukan sahaja tentang penjagaan luaran tetapi juga memerlukan sokongan dalaman melalui pemakanan harian kita. Dengan mengekalkan tabiat pemakanan yang seimbang dan mengambil protein, vitamin C, zat besi dan nutrien lain yang mencukupi, anda boleh memperbaiki dan mengekalkan kesihatan rambut anda. Jangan abaikan kepentingan diet terhadap rambut anda. Mulai hari ini, mari kita sama-sama menjaga kesihatan rambut kita dengan mengambil nutrien yang mencukupi!